SISTEM pendidikan seluruh dunia semakin menekankan pelbagai kemahiran dalam kurikulum, demi mempersiapkan murid menghadapi cabaran kompleks abad ke-21.
Banyak negara berusaha menampilkan kepentingan kemahiran ini dalam dasar dan rancangan pendidikan mereka. Malaysia sendiri melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertujuan meningkatkan taraf pendidikan supaya mencapai standard antarabangsa.
Dalam kurikulum sekolah di Malaysia, dinyatakan antara hasrat Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) adalah melahirkan murid yang mempunyai kemahiran abad ke-21 dengan memberi fokus kepada kemahiran berfikir serta kemahiran hidup dan kerjaya berteraskan amalan nilai murni.
Teks ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini, turut menegaskan dalam abad ke-21, senario pendidikan secara global berkembang begitu pesat.
DISYORKAN UNTUK ANDAArus globalisasi membentuk hala tuju baharu pendidikan dunia. Sehubungan itu, guru perlu mempunyai pengetahuan kandungan pedagogi abad ke-21 kerana dalam bilik darjah, guru memainkan peranan aktif dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk mengubah tingkah laku murid.
Satu kerangka mengenai pedagogi abad ke-21 untuk generasi digital hari ini diperkenalkan dan diguna pakai dalam banyak kajian di seluruh dunia.
Ia mengandungi lapan komponen utama, meliputi pembelajaran kolaboratif, mengupayakan teknologi, pengembangan kemahiran penyelesaian masalah, pembelajaran berasaskan projek, mengoptimumkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai sumber maklumat, menggalakkan amalan refleksi, mengembangkan kemahiran berfikir dan pentaksiran.
Murid hari ini memerlukan lebih banyak pemahaman dalam pelbagai perkara untuk berjaya dalam zaman yang pesat berubah. Disebabkan itu, pembelajaran secara kolaboratif amat penting.
Peranti mudah alih seperti komputer riba, telefon pintar, tablet dan pelbagai alatan ICT lain boleh dijadikan platform meningkatkan pembelajaran kolaboratif.
Penekanan teknologi sebenarnya mula diperkenalkan dalam kurikulum sejak 1990-an. Hari ini media sosial, blog, wiki, skype dan dunia maya adalah sebahagian alat sosial kolaboratif yang membolehkan komunikasi dan kerjasama berlaku.
Penyelesaian masalah masih menjadi aspek dalam pedagogi abad ke-21. Pelbagai masalah kompleks dan bukan rutin dihadapi kini menjadikan kemahiran penyelesaian masalah masih relevan diajar dalam bilik darjah.
Namun, soalan diberikan bukanlah bersifat rutin, tetapi lebih kepada bukan rutin dengan aplikasi situasi harian murid, termasuk dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Untuk melatih murid menyelesaikan masalah dunia sebenar yang dialami sendiri, pembelajaran berasaskan projek (PBL) perlu dijadikan salah satu pedagogi dalam bilik darjah hari ini.
PBL adalah pendekatan inovatif untuk pembelajaran yang mengajar banyak strategi penting untuk kejayaan pada abad ke-21.
Murid bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri melalui inkuiri, serta bekerja bersama-sama untuk mengkaji dan membuat projek yang mencerminkan pengetahuan mereka.
Pedagogi abad ke-21 memberi fokus terhadap kelancaran maklumat, media dan teknologi. Lantas murid perlu didedahkan penggunaan teknologi dalam cara inovatif untuk menyediakan murid dalam dunia dinamik dan sentiasa berubah-ubah.
Sehubungan itu, kemudahan ICT, termasuk media sosial dan alatan digital lain perlu dimanfaatkan. Maklumat diperlukan murid dalam bilik darjah di hujung jari mereka. Guru perlu menerangkan bagaimana memperoleh dan menganalisis maklumat yang relevan dan berguna.
Dalam abad ke-21 ini, guru perlu sentiasa merefleksi pedagogi dilaksanakan dalam kelas supaya sentiasa sesuai dengan P&P yang menyediakan murid dalam dunia kompleks serta dinamik yang dipengaruhi globalisasi dan revolusi teknologi digital. Pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) juga harus dipandang serius. Ia merujuk empat tahap teratas dalam Taksonomi Bloom Semakan Semula, iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.
Justeru, guru hari ini perlu bijak memupuk keupayaan murid untuk menganalisis, mensintesis dan menilai fakta serta maklumat, menggunakan kemahiran berfikir untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Pentaksiran dalam bilik darjah di abad ke-21 juga perlu berubah seiring pedagogi dilaksanakan. Ia tidak hanya berfokus aspek kognitif, tetapi memberi perhatian kepada psikomotor dan afektif.
Ini selari falsafah pendidikan kebangsaan yang bertujuan mewujudkan insan seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Selaras hala tuju pendidikan pada era baharu ini untuk memastikan kemenjadian murid berteraskan 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan manusiawi, kaedah pentaksiran tidak harus pada kertas jawapan ujian atau peperiksaan semata-mata. Kaedah lain seperti catatan refleksi dan temu bual boleh dilaksanakan.